Suasana Gangnam Raya Anak Cucu Tok Haroon

Video Suasana Gangnam Raya yang mempamerkan keakraban keluarga Anak Cucu Tok Haroon (ACTH) menarikan tarian Gangnam Style kini sudah ditonton sehingga 990,000 kali di laman sesawang, YouTube.

Salah seorang ahli keluarga itu, Rohiman Haroon, 51, berkata, dia sama sekali tidak menyangka video tersebut mampu mencecah angka tontonan yang tinggi memandangkan ia dibuat hanya untuk berseronok sahaja.

Menurutnya, idea tersebut datang setelah salah seorang anak saudaranya menyatakan hasrat untuk merakamkan aksi mereka sekeluarga sebagai kenang-kenangan.

“Pemilihan lagu dipilih secara spontan. Malah, saya sendiri ketika rakaman itu dilakukan baru pertama kali menyaksikan video lagu korea tersebut.

“Keluarga kami memang erat dan itu menambah kemanisan pada video tersebut yang menarik hati ramai orang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Video berdurasi selama empat minit itu menjadi fenomena setelah mendapat tontonan yang tinggi dalam masa yang singkat.

Tambah Rohiman, rakaman itu dibuat di sebuah banglo yang disewa di Bukit Beruntung, Shah Alam sebagai lokasi merewang mereka sekeluarga pada malam raya dan hari raya pertama lalu.

“Sepatutnya seramai 80 anggota berkumpul tetapi hanya 60 yang dapat hadir terdiri daripada empat generasi iaitu ibu saya, adik-beradik, sepupu sehingga cucu.

“Banyak aktiviti yang kami lakukan terutamanya membakar lemang, membuat ketupat dan pelbagai lagi persiapan lazim menjelang hari raya,” katanya.

Sambil menyifatkan keluarga moden sekarang kurang mengambil berat terhadap saudara mara, katanya, dia berharap video itu mampu menjadi dorongan untuk mengeratkan ikatan persaudaraan.

“Kami berharap video itu bukan sekadar tontonan sahaja, sebaliknya dapat memberikan nilai tambah dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, keluarga ACTH juga akan menambah lagi koleksi video keluarga mereka di YouTube pada masa akan datang berikutan sambutan luar jangkaan yang diterima.

Sumber: UTUSAN


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *